ALANGKAH bahagianya jika kita
ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama
dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara
langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh
berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu
masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana
dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap
aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai
sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf,
mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah generasi yang telah dicatat dalam
lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan dua kuasa besar
pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun
yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah
terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan
kedua-duanya sekali.
Mereka mencipta nama dalam sejarah
tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar-luaskan ajaran
Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam
yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan
keselamatan untuk umat manusia sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat
Nabi Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah
kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu
Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah,
Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut
benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para
Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.
Alangkah malangnya segelintir umat Islam
hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama
yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama.
Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di
bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.
Malah Islam hanya tinggal pada nama
sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti
orang Islam, ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan
wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak
dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri
mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.
Inilah yang pernah disabdakan oleh
Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu
ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima wahyu daripada Allah
Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah
kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud,
daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:
“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa
sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam
itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali
hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong
daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan
kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada
hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah
ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir
menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas
bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana
kebenaran kenyataan baginda itu.
1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam hanya tinggal namanya sahaja
Kelak akan banyak orang yang mengaku
beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai
seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan
untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang
Islam melanggar syariat.
Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu
sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah
solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji
mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di kedai judi dan
menghabiskan masa.
Ramai yang bercakap tentang Islam
padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya
dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang
mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas
kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan
dengan ketentuan nas.
Sebenarnya orang yang sebegini tergolong
daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama
Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad ar-Rabi’)
Al Quran hanya tinggal tulisannya
Dalam banyak hadis Rasulullah SAW,
Baginda menganjurkan kita umatnya agar membudayakan pembacaan Al Quran,
ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati,
malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat
dengan penyakit-penyakit dntakan dunia secara berlebihan.
Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk
menjadi pedoman dalam soal aqidah, iman, beribadah kepada Allah dengan
membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada
di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh
manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang
dan perintah Allah yang ada di dalamnya.
Apa yang mendukacitakan kita pada hari
ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan
iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan
undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih
setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum
dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran
ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca,
bukan untuk diamalkan.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah
Inilah kebenaran kenyataan Baginda
Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang
cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak
memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan
kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.
Terdapat masjid yang membiayai urusan
pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit
yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas
pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau
barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan.
Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai
masjid yang paling cantik dan bersih.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap tentang Islam
Tidak dinafikan juga wujud kalangan
ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan
pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda, justeru
itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan
ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang
ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.
“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami
tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia
bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka
bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia
menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya:
ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah
kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam
Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat ini
diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama
Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah
seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani
Israel.
Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada
zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah
s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama
Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab]. Setelah
peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel
yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan
negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut
kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan
Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut
memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan
ilmunya [berdo'a] untuk mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu
mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan
menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun
bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak
dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan
susah seperti yang dipinta oleh Raja”.
Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan
kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa AS, doa
Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang
bernama Teh (sekarang : semenanjung Sinai) selama 40 tahun.
Kesesatan yang maha dahsyat itu,
menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang
kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi Musa berkata lagi kepada Allah,
“Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka
tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am
dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah,
menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir
sepertimana anjing.
“Minta berlindung kita dengan Allah
daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini
isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada kita).
Kepentingan dunia kerana mahu mengejar
pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani
menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana
takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup
menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili
maka dialah yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat
Fitnah terhadap Islam sudah semakin
menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di
sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam
hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini,
perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri
tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan
hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan
hidup.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Komentar harus menggunakan kata-kata yang sopan.